USAHA MENGHIDUPKAN KEMBALI TANAH TERBIAR PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Wednesday, 13 August 2008 00:50

1. Usaha menghidupkan kembali tanah terbiar
Utusan Malaysia, 30 Okt 2002 

Oleh Arshad Khan
(WARTAWAN UTUSAN)
Bermula tahun 1984, Jabatan Pertanian memperkenalkan satu skim khas yang dikenali sebagai Projek Pembangunan Tanah Terbiar (PPTT).

Menurut Pengarah Bahagian Perancangan, Jabatan Pertanian, Datuk Khamsiah Muhammad, sehingga tahun 2000, seluas 28,852 hektar tanah terbiar telah dimajukan kembali di bawah skim PPTT.

Selepas tahun tersebut tambahnya, Jabatan Pertanian telah menjalankan kajian untuk mengenal pasti lebih banyak tanah milik petani yang masih terbiar. Hasilnya, sebanyak 34,360 hektar tanah lagi dikesan.

Namun menurut Khamsiah, hanya 12,156 hektar berjaya dimajukan setelah aspek kesesuaian tanah diambil kira.

Dari segi pecahan negeri menurutnya, Terengganu merupakan negeri yang paling banyak tanah terbiar dimajukan iaitu 2,163 hektar diikuti Pahang, (2,503), Perak (2,169), Johor (975 hektar) dan Negeri Sembilan (1,195).

Manakala, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Melaka merupakan negeri yang paling sedikit dimajukan tanahnya iaitu dari 37 hektar ke 200 hektar sahaja.

Jelas Khamsiah, tanah yang hendak dimajukan perlu memenuhi beberapa syarat seperti bebas dari kesan asid sulfat dan tidak berpaya.

Jelas beliau, PPTT telah dimajukan dalam beberapa peringkat dengan pendekatan yang berlainan.

Dari tahun 1984 hingga 2000, Jabatan Pertanian telah menggunakan pendekatan Projek Perladangan Berkelompok.

Melalui pendekatan itu menurut Khamsiah, tanah-tanah terbiar dipulihkan sepenuhnya oleh pemilik asal tanah.

Namun jelas beliau, selepas tempoh tersebut, kaedah perkongsian antara pemilik tanah dengan pemaju swasta pula dipraktikkan.

Melalui skim terbaru itu, pemilik tanah yang menyewakan tanah mereka kepada syarikat swasta akan menerima keuntungan dalam lingkungan sepuluh peratus.

Situasi menang-menang itu menurut Khamsiah bertujuan bagi menarik lebih ramai lagi pemilik tanah menyertai PPTT.

Pihak Jabatan Pertanian meletakan sasaran pendapatan RM3,000 ke atas bagi setiap pemaju yang terlibat.

Walaupun jumlah tersebut mungkin kelihatan agak besar bagi sesetengah pihak, namun ia boleh dicapai sekiranya peserta menurut segala tunjuk ajar yang diberikan oleh Jabatan Pertanian.

Salah satu contoh kejayaan dari aspek itu boleh dilihat pada peserta muda dari Kampung Ulu Seperi, Negeri Sembilan, Shahrul Mohamad, 29.

Shahrul pada asalnya berkerja di ibukota dalam bidang perhotelan. Beliau kembali ke kampungnya tahun 1998 dan mula mengusahakan hampir 15 ekar tanah di bawah skim PPTT.

Beliau kini mempunyai dua pekerja dan mampu memperoleh pendapatan bersih hampir RM1,500 sebulan dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat apabila tanah yang dikerjakannya mencapai taraf guna penuh tidak lama lagi.

Jelas beliau, selain faktor pendapatan, skim PPTT juga memberikan kelebihan dari segi kepuasan kerana ia membolehkannya berkerja sendiri dan cara itu mengurangkan tekanan ke atas dirinya.

Kejayaan sebenar PPTT terletak pada sebuah pasukan perunding yang dikenali sebagai `Ministry of Agriculture Incorporated (MOA Inc.)'.

MOA Inc. disertai oleh semua badan di bawah Kementerian Pertanian seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Jabatan Perikanan, Lembaga Pertubuhan Peladang, Bank Pertanian Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Badan-badan itu membantu dari segala aspek termasuk pembangunan pelan bisnes.

MOA Inc. umumnya memberikan bantuan dari segi permohonan pinjaman, kemudahan pemasaran, khidmat nasihat, sokongan teknikal, pembersihan kawasan, kesesuaian tanah dan penyediaan infrastruktur asas seperti jalan masuk, sistem saliran serta pengairan.

Ia juga membantu pemaju tanah mendapatkan pekerja asing.

Langkah menggabungkan kesemua jabatan di bawah Kementerian Pertanian memperlihatkan usaha bersungguh bagi menangani masalah tanah terbiar oleh kementerian tersebut.

Walaupun secara teorinya, PPTT nampak berjalan lancar, namun wujud beberapa masalah berulang yang kerap memperlahankan kelancaran projek ini.

Antara yang paling utama ialah masalah tanah terbiar jenis pusaka yang dimiliki oleh beberapa penama sekali gus.

Bagi tujuan penyewaan, persetujuan semua penama diperlukan dan ada kalanya penama berkenaan tidak dapat dihubungi akibat berpindah ke tempat lain atau meninggal dunia.

Untuk mengatasi masalah itu, Jabatan Pertanian telah mewujudkan kerjasama dengan pejabat daerah dan pejabat tanah di kawasan-kawasan yang terlibat bagi mengenal pasti tuan-tuan tanahnya yang sebenar.

Setelah proses mengenal pasti itu selesai, barulah pengusaha-pengusaha yang berpotensi akan diberikan peluang menyewa dan membangunkan tanah terbiar tersebut.

Berpandukan pada kejayaan masa kini Kementerian Pertanian telah menetapkan beberapa hala tuju yang ingin dicapai dalam memastikan skim ini terus memperlihatkan kecemerlangannya.

Antaranya, menurut Shamsiah, Jabatan Pertanian telah diarahkan untuk menarik lebih ramai graduan muda menyertai bidang pertanian sebagai langkah untuk mewujudkan pelapis petani muda.

Bagi memastikan graduan yang dipilih betul-betul arif dengan bidang pertanian, jabatan tersebut telah mewujudkan ladang inkubator di Institusi Pertanian Serdang dan Pusat Latihan Pertanian Lekir untuk memberikan latihan langsung berkenaan bidang pertanian.

Kerajaan juga kini memberikan insentif pengecualian cukai untuk mengalakkan syarikat melabur dalam pengeluaran bahan makanan.

Bahan makanan yang dihasilkan melalui skim PPTT juga akan dipastikan agar mendapat pengiktirafan `Malaysia's Best' di bawah Skim Akreditasi Ladang Malaysia dan pengiktirafan pengeluaran makanan organik di bawah Skim Pensijilan Ladang Organik.

Kejayaan Kementerian Pertanian memajukan hampir 32,000 hektar tanah terbiar di seluruh negara bermula tahun 1984 memperlihatkan satu usaha murni yang tidak hanya menguntungkan petani malah juga negara.

Secara keseluruhannya, ia menampakkan satu usaha yang amat berfaedah. Tanah-tanah yang pada asalnya tidak memberikan apa-apa hasil kini dapat mengeluarkan bahan-bahan makanan untuk negara.

Skim ini akan dilancarkan secara rasmi pada peringkat kebangsaan oleh Menteri Pertanian, Datuk Effendi Norwawi bertempat di Kampung Ulu Seperi, Rembau Negeri Sembilan.

Pelancaran secara serentak juga akan dilakukan oleh Menteri Besar/Ketua Menteri atau Exco Pertanian di peringkat negeri

 

2. MP PKR Machang: Penglibatan Syarikat besar memajukan Tanah Terbiar

Posted on by Pelapor

http://mppas.wordpress.com/2008/11/05/mp-pkr-machang-penglibatan-syarikat-besar-memajukan-tanah-terbiar/

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri atas ruang ini. Saya hendak balik selangkah ke belakang ini isu tanah terbiar.

Apakah Yang Berhormat Menteri bersedia bagi pihak kerajaan untuk barang kali mengambil sedikit pelajaran daripada pengalaman Manmohan Singh di India. Saya dapati isu tanah terbiar di sana juga serius tetapi formulanya Yang Berhormat Menteri ialah ia libatkan syarikat-syarikat besar misalnya syarikat Bharti Group. Ini syarikat yang the best performing companies in the world dalam bidang ICT tetapi dia juga terlibat dalam bidang pertanian.

Dia J-V dengan Walmart stores dan akhirnya dia proved facilities kepada orang kampung, dia majukan tanah, dia bantu dari segi kepakaran dan juga sistem pemasaran. Begitu juga syarikat Tata Group di India.

Aktiviti utamanya ada tujuh bidang. Satu daripadanya ialah dia melabur secara besar-besaran, memajukan tanah terbiar dan dia kerjasama dengan syarikat Ireland. Petani boleh memasarkan menggunakan jaringan ini dan India menjadi antara negara yang mengeksport sayur dan juga buah-buahan yang terbesar di Eropah selepas China.

Jadi isunya ialah penglibatan syarikat-syarikat gergasi di sana dalam bidang pertanian. Apabila syarikat besar ini terlibat dia boleh sebenarnya jaga dan protect pelaburan dia.

Jadi dia tidak mengharapkan hanya kerajaan dengan biaya yang terhad tetapi syarikat-syarikat
gergasi terlibat. Apakah model ini turut dipertimbangkan atau boleh dipertimbangkan oleh pihak
kerajaan? Saya mohon pandangan?

Dato’ Mustapa Mohamed: Terima kasih Yang Berhormat Machang. Seperti yang sebutkan tadi ada masalah di Malaysia. Pertamanya pemilik tanah sukar dikesan. Tidak tahu mana dia, dia tinggal di luar kawasan. Kadang-kadang satu tanah itu mungkin dua hentar sahaja tetapi pemiliknya sampai dua puluh orang, saya sendiri ada pengalaman di kawasan umpamanya kita hendak bangunkan satu tanah ini cuma dua hektar sahaja untuk pertanian tetapi pemiliknya 15 orang.

Kalau dapat persetujuan sepuluh orang, lima lagi tidak dapat jadi ini antara masalah di Malaysia. Memanglah kita menghargai pandangan Yang Berhormat dan itu sebabnya kita ambil pendekatan yang mana tanah-tanah milik kerajaan sekarang ini kita sudah pasti.

Tadi disebut MARDI. MARDI ada 500 lebih hektar kita akan iklankan di pejabat tanah. Kita akan minta siapa yang berminat. Syarikat tersebut mungkin syarikat GLC ataupun syarikat besar dan kita terbuka. Jadi ini kaedah baru yang kita gunakan untuk majukan tanah terbiar.

Tanah milik individu ini sukar oleh kerana untuk mendapat persetujuan tuan punya tanah itu amat sukar sekali dalam negara kita Malaysia. Jadi pendekatan yang kita gunakan kita kenal pasti tanah kerajaan untuk dibangunkan oleh swasta termasuklah GLC.

Datuk Haji Ab. Halim Ab. Rahman [Pengkalan chepa]: Saya minta sedikit penjelasan mengenai teknologi pertanian ini. Selain daripada Thailand, Taiwan sebagai mana yang dilawati oleh backbenches BN, ada satu syarikat yang sangat masyhur dengan teknologi benih iaitu ‘Non Yuu Sdn. Bhd’ yang membekalkan benih-benih seedless watermelon, cabbage dan semua sayursayuran yang diimport oleh Thailand, benih yang diimport oleh Thailand dan juga Malaysia.

Akan tetapi, Thailand import benih ini, dutinya sangat rendah, tax. Malaysia ini sangt tinggi. Jadi, saya hendak tanya adakah masih MARDI gagal untuk melahirkan benih-benih seperti tembikai yang tidak ada butir, begitu juga dengan lain-lain perkara yang dihasilkan di Taiwan.

Hendak tanya sejauh mana teknologi ini telah berkesan dalam mempromosi dan memperbaiki mutu benih kita untuk mengurangkan import benih-benih itu?

Dato’ Mustapa Mohamed: Dua persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pengkalan Chepa Tuan Yang di-Pertua. Yang pertama sama ada kita kenakan duti import ke atas pembelian benih daripada Taiwan ini satu perkara yang spesifik yang saya kena rujuk, saya kurang pasti sama ada duti import atau pun tidak.

Berkaitan dengan setakat mana MARDI, soalan kedua telah berjaya. MARDI memang telah berjaya untuk mengeluarkan beberapa variety baru padi umpamanya MR219, MR220, 90% padi dalam negara adalah variety yang dihasilkan oleh MARDI hasil kajian MARDI. MARDI juga mengeluarkan benih-benih lain termasuklah sayur-sayuran dan boleh dibeli, kita buka tapak MAHA ini setiap hari Sabtu untuk orang ramai. Orang ramai boleh beli benih-benih sayur dan buah-buahan, seedless watermelon tadi saya difahamkan juga dikeluarkan dalam negara kita.

Jadi, mana-mana pihak yang berminat untuk membeli benih-benih termasuk dikeluarkan Jabatan Pertanian dan MARDI silalah ke tapak MAHA setiap hari Sabtu pukul 9 hingga pukul 5 petang.

Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua. Isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh dan Wangsa Maju berkaitan teguran audit – perolehan ternakan induk kacukan yellow cattle. Perkara ini memanglah dibangkitkan oleh pihak audit.

Pihak audit telah menyatakan beberapa perkara yang tidak mengikuti peraturan, beberapa syarat telah tidak dipenuhi termasuklah lembu kacukan yang sepatutnya beratnya 250 kg diterima sekurang-kurangnya tetapi ada yang kurang beratnya yang ditetapkan juga diterima.

Ada beberapa perkara dibangkitkan dalam laporan audit. Ini memang dalam pengetahuan kementerian. Kita memang serius perkara ini. Kementerian memandang serius dan mengambil berat perkara yang dibangkitkan oleh audit dalam tegurannya.

Satu siasatan dalaman telah pun dijalankan. Ini berlaku pada awal tahun 2007, Februari 2007 apabila ternakan jenis yellow cattle dibawa negara China di mana syarikat berkenaan mengikut Laporan Audit telah tidak mematuhi syarat yang ditetapkan tetapi diterima oleh jabatan dan dibuat bayaran. Ini menjadi subjek dalam Laporan Audit.

Saya ingin memaklumkan di sini bahawa kita tidak sekalikali dengan izin, tolerate perkara ini dan siasatan sedang berjalan dan kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang bersalah.

Terima kasih diucapkan kepada semua Ahli Yang Berhormat yang membahaskan belanjawan. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ada isu-isu yang tidak sempat saya jawab. Mungkin kita boleh teruskan debat dalam masa Jawatankuasa. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Rujuk: Sesi Pencelahan Penggulungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Mustapa Mohamed3 November 2008 ms 64-67

3. Penduduk digesa majukan tanah terbiar dengan aktiviti pertanian

17/02/2011

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_05.htm

KOTA BELUD 16 Feb. - Penduduk di kawasan Usukan diminta membangunkan tanah mereka yang terbiar bagi dijadikan kawasan pertanian yang berdaya maju.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Japlin Akim berkata, menerusi langkah itu, penduduk bukan sahaja dapat berbakti kepada tanah, malah, secara tidak langsung dapat meningkatkan status ekonomi masing-masing.

Menurutnya, langkah itu selaras dengan perancangan kerajaan untuk menjadikan pertanian sebagai sektor yang dimajukan bagi menjana ekonomi negeri dan rakyat.

''Caranya adalah memajukan tanah terbiar dengan aktiviti pertanian. Usaha itu secara tidak langsung dapat membasmi kemiskinan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Keluarga Petani enam buah kampung iaitu Kampung Labuan, Wakap, Kota Peladok, Merabau dan Jawi-Jawi di sini semalam.

Japlin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata, daerah itu mempunyai kawasan tanah yang berpotensi untuk diusahakan dengan pelbagai tanaman terutama tanaman padi.

Beliau berkata, apabila lebih banyak kawasan tanah terbiar dimajukan bagi tujuan pertanian, maka secara tidak langsung akan dapat membantu menambah hasil pengeluaran pertanian negeri ini.

''Ini termasuk dengan mengusahakan tanaman seperti cili, halia, pisang, jagung dan serai yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran tempatan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar penduduk kampung membentuk satu jawatankuasa khas untuk mengkaji dan memajukan ratusan hektar tanah terbiar di Usukan.

Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai penghulu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Pertanian, FELCRA dan RISDA.

Menurutnya, ia bagi mengemukakan cadangan serta keperluan untuk memajukan kawasan tanah-tanah terbiar di kawasan tersebut.

Jelasnya, jawatankuasa itu akan mendaftarkan nama pemilik tanah terbabit sebelum satu laporan dan kertas kerja disiapkan mengenai projek yang sesuai dijalankan.

''Jika tanah terbiar dimajukan sudah pasti banyak pihak terutama golongan petani mendapat manfaatnya. Tujuannya bukan sahaja mahu meningkatkan hasil pengeluaran pertanian tetapi juga memberikan sumber pendapatan kepada pemiliknya," katanya.

 

4. PEMBANGUNAN TANAH TERBIAR, MENJANA EKONOMI LUAR BANDAR

APAKAH MAKSUD TANAH TERBIAR?

Tanah terbiar adalah tanah milik yang tidak diusahakan selama dua tahun berturut-turut atau lebih. Tanah tersebut boleh dimajukan melalui projek :

i. Kawasan Tumpuan Pembangunan Pertanian ( ACDA ) - luas minima 30 hektar/projek.

ii.Pembangunan Tanah Terbiar - luas minima 10 hektar/projek.

MATLAMAT

Matlamat projek ini adalah untuk menggunakan sumber tanah secara optimum bagi meningkatkan keupayaan sektor pertanian dalam menghasilkan bahan makanan yang mencukupi untuk keperluan negara dan eksport.

OBJEKTIF

  1. Membagunkan tanah terbiar menjadi tanah yang produktif dan memberi pulangan kepada pungusaha.
  2. Meningkatkan pengeluaran bahan makanan bagi memastikan bekalan yang mencukupi serta berkualiti dan selamat dimakan untuk memenuhi keperluan negara.
  3. Melahirkan usahawan tani komersil dengan mengeluarkan bahan makanan untuk pasaran segar dan pemprosesan makanan bagi menggiatkan industri asas tani.

 

SYARAT KELAYAKAN

  • Warganegara Malaysia
  • Pengusaha individu, usahawan dan syarikat
  • Peserta berminat dan mempunyai inisiatif  serta berdaya saing
  • Mengusahakan tanah sendiri atau sewa
  • Keluasan tanah menepati syarat keluasan minima
  • Menyediakan kertas kerja yang lengkap
  • Mempunyai dokumen pemilikan tanah
  • Peserta atau sebagai pekerja kpd pengusaha seboleh-bolehnya berada di kampung/lokasi yang dipilih

CARA MEMOHON DAN KELULUSAN

  • Pemohonan melalui borang permohonan dan hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Pertanian Daerah berserta kertas kerja lengkap.
  • Kertas kerja perlu mempunyai maklumat asas peserta, maklumat lengkap projek, cadangan jadual kerja setiap projek, kos yang disediakan sendiri dan yang dipohon serta kaedah pemasaran.
  • Kelulusan tertakluk kepada kertas kerja lengkap, dokumen pemilikan tanah, siasatan kesesuaian tanah, lokasi dan peruntukan yang ada.

PEMASARAN HASIL

  • Jualan Terus
  • Ladang Kontrak
  • Pasaran lain

PERTANYAAN

Sebarang pertanyaan mengenai projek hendaklah berhubung dengan Pejabat Pertanian Daerah

PENUTUP

Projek Pembangunan Tanah Terbiar yang dijalankan diharap dapat membangunkan tanah terbiar di seluruh negara dan mencapai matlamat yang disasarkan.

PROJEK PEMBANGUNAN TANAH TERBIAR 2008/09

Jabatan Pertanian Selangor telah dan sedang melaksanakan projek pembangunan tanah terbiar seperti berikut :

 

TAHUN

TEMPAT

LUAS (HA)

PESERTA

TANAMAN

2008

Teluk Pangsun,H.Langat

10.00

1

Serai & Pisang

2009

Kg. Asam Jawa Jeram,K.Selangor

13.2

1

Serai

Pembangunan Tanah Terbiar

June 30, 2008 14:49 PM

 

Kementerian Majukan Segera 250 Hektar Tanah Terbiar, Libatkan Peruntukan RM5 Juta

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memajukan segera 250 hektar tanah terbiar bermula bulan depan melibatkan peruntukan awal sebanyak RM5 juta dengan pelbagai tanaman singkat masa seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Menterinya Datuk Mustapa Mohamed berkata pelaksanaan projek pembangunan tanah terbiar di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara itu melibatkan kerjasama antara Jabatan Pertanian sebagai peneraju projek serta jabatan dan agensi lain di bawah konsep pembangunan bersepadu kementerian seperti Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Bagi pelaksanaan tahun ini, peruntukan sebanyak RM13 juta telah dipohon dan kementerian baru menerima peruntukan awal sebanyak RM5 juta itu," katanya ketika menjawab soalan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) pada persidangan Dewan Rakyat di sini Isnin.

Menurutnya di bawah dasar itu, kementerian telah merangka program khas pembangunan tanah terbiar dengan memperuntukkan sebanyak RM48 juta untuk pelaksanaannya antara tahun 2008 dan 2010.

Beliau berkata di bawah program itu kawasan seluas 650 hektar di 32 lokasi seluruh negara dikenalpasti bagi pembangunan program tanah terbiar.

Mustapa berkata pelaksanaan memajukan tanah terbiar yang dikenalpasti dan dipilih akan dibangunkan dengan penyediaan infrastruktur asas seperti pembinaan jalan ladang, pembersihan kawasan, penyediaan infrastruktur pengairan dan saliran serta kemudahan yang sesuai untuk kegiatan tanaman, ternakan atau integrasi tanaman dan akuakultur serta industri asas tani.

Katanya projek itu juga dilaksanakan oleh pemilik sendiri atau pengusaha secara sewaan atau perkongsian keuntungan.

"Kos pembangunan tanah itu agak tinggi, kira-kira RM20,000 per hektar merangkumi pembersihan kawasan, sistem pengairan dan perparitan, meratakan tanah, pembelian benih dan baja," katanya.

Menurutnya sehingga kini sebanyak 2,600 hektar tanah terbiar telah dibangunkan dan antara projek berjaya adalah di Teloi Kiri, Kedah, melibatkan 59 peserta penanam nanas dan Kampung Tok Kuchai Pasir Puteh, Kelantan yang menanam tembikai.

Mustapa berkata kementeriannya telah mengenalpasti seluas 34,362 hektar tanah terbiar di Semenanjung Malaysia dan daripada itu hanya seluas 12,155 hektar telah dikenal pasti sesuai untuk dibangunkan dengan aktiviti pertanian.

5. Usahakan tanaman labu di tanah terbiar

http://harizamrry.com/2008/07/usahakan-tanaman-labu-di-tanah-terbiar/

 

NILAI 10 Julai – Seramai 30 pemilik tanah terbiar di Kampung Pulau, Labu di sini disaran mengusahakan tanah masing-masing dengan menyertai projek tanaman labu secara komersial.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, terdapat kira-kira 59 hektar tanah terbiar di sini yang berpotensi untuk dimajukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu itu berkata, projek yang masih dalam peringkat perbincangan itu diyakini boleh menjana pendapatan lumayan kepada pemilik tanah terbabit.

Jelasnya, ia juga bertujuan mempopularkan labu sebagai tanaman komersial utama selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penghasilan makanan negara.

”Jika kawasan Tambun di Perak popular dengan limau bali, kita berharap Labu akan menjadi terkenal dengan labu,” katanya.

Beliau berucap merasmikan mesyuarat cadangan projek tanaman labu di kawasan tanah terbiar di Kampung Pulau, Labu dekat sini hari ini.

Hadir sama Penolong Pegawai Pertanian daerah, Noor Hazlan Jamlus dan 30 pemilik tanah terbabit.

Menurutnya, tanaman labu dipilih kerana terdapat permintaan yang tinggi oleh industri makanan malah ia turut digunakan sebagai salah satu bahan dalam penghasilan cat.

”Selain itu, disebabkan oleh nama yang serupa, orang ramai akan lebih mudah mengaitkan labu dengan kawasan ini,” katanya.

Ujar beliau, projek tanaman labu akan diusahakan sama ada secara keseluruhan oleh usahawan yang bakal dilantik atau secara kelompok oleh pemilik-pemilik tanah.

Kata beliau, pada dasarnya kerajaan negeri telah bersetuju dengan cadangan berkenaan dan langkah seterusnya adalah untuk mendapatkan persetujuan pemilik tanah terbabit.

 

 

Last Updated on Thursday, 05 May 2011 11:41